Kementerian Pendidikan Malaysia

DASAR MBMMBI/MBMMBI POLICY

PENGENALAN 

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Julai 2009 telah memansuhkan pelaksanaan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah-sekolah, iaitu Tahun 1 hingga Tingkatan 5, dan digantikan dengan Dasar MBMMBI. Jemaah Menteri juga memutuskan bahawa Dasar MBMMBI dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai tahun 2010. Matlamat melahirkan masyarakat yang berupaya menguasai bahasa Malaysia (BM) dan bahasa Inggeris (BI) dengan baik adalah antara fokus baharu dalam sistem pendidikan negara. Seperti digariskan dalam PPPM 2013-2025, penguasaan BM dan BI yang mantap serta kecekapan menguasai pelbagai bahasa adalah penting memandangkan persaingan global yang pesat. Selaras dengan pelaksanaan PPPM 2013-2025, Dasar MBMMBI memfokuskan usaha memartabatkan BM dan memperkukuh BI bagi melahirkan masyarakat yang mampu berkomunikasi dengan berkesan, bersatupadu serta dapat menjana daya saing hingga ke peringkat antarabangsa.


DEFINASI

Memartabatkan BM bermaksud meletakkan BM pada tempat yang sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia. BM merupakan bahasa pengantar utama pendidikan berdasarkan Akta Pendidikan 1996.

Tujuan utama memperkukuh BI adalah untuk membolehkan penerokaan pelbagai ilmu dan meningkatkan persaingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Selain itu, BI juga merupakan bahasa komunikasi antarabangsa yang perlu dikuasai dengan baik dan berkesan.

Dasar MBMMBI dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai tahun 2010 menggantikan PPSMI. Dalam proses peralihan ini, sekolah boleh menggunakan BI dan/atau bahasa pengantar masing-masing dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Sains dan Matematik (rujuk Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 12 tahun 2011 — Lampiran 1). Proses ini bertujuan membantu guru dan murid untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dasar berkenaan.

Berdasarkan ketetapan tersebut, terdapat tiga alternatif bagi PdP Sains dan Matematik di sekolah:

(i) PdP Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia, bahasa Cina atau bahasa Tamil (mengikut jenis sekolah),

(ii) PdP Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, dan

(iii) PdP Sains dan Matematik dalam dwibahasa

Mulai tahun 2011, pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bermula dengan murid Tahun 1 iaitu PdP mata pelajaran Sains dan Matematik menggunakan BM di Sekolah Kebangsaan (SK) dan penggunaan bahasa pengantar di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).


 MATLAMAT

Matlamat Dasar MBMMBI adalah untuk mewujudkan masyarakat yang menguasai BM dan BI dalam sistem pendidikan negara. Fokus kepada BM dan BI bertujuan melahirkan masyarakat yang bersatu-padu dan mewujudkan bangsa Malaysia yang berdaya saing di peringkat dunia. Matlamat ini selaras dengan pelaksanaan Dasar MBMMBI untuk melahirkan murid yang fasih dan yakin menggunakan BM dan BI.


OBJEKTIF

Objektif Dasar MBMMBI adalah untuk:

1.Meningkatkan penguasaan murid dalam BM dan BI;

2.Menyediakan guru BM dan BI mengikut opsyen yang mencukupi dan meningkatkan kompetensi guru BM dan BI;

3.Meningkatkan infrastruktur dan bahan sokongan dalam PdP BM dan BI; dan

4.Meningkatkan penggunaan BM dan BI dalam aktiviti luar bilik darjah. 

                                                                            (Pelan Strategik Interim KPM 2011-2020, 2012)

STRATEGI

Bagi memastikan sistem pendidikan negara yang berkualiti dapat dikecapi oleh semua warga Malaysia, satu pelan yang mantap telah disediakan. Dengan terhasilnya PPPM 2013 – 2025 yang telah dilancarkan pada tahun 2012 maka, sistem pendidikan yang berkualiti untuk melahirkan modal insan mengikut acuan kita sendiri dapat direalisasikan. Pelan ini menentukan hala tuju pelaksanaan Dasar MBMMBI. Beberapa inisiatif dan aktiviti dikenal pasti bagi mencapai matlamat Dasar MBMMBI.

Sebanyak tiga belas inisiatif di bawah Dasar MBMMBI yang berpandukan Rancangan Malaysia Ke-10 telah digariskan. Bagi melaksanakan kesemua inisiatif tersebut, lapan strategi utama dikemukakan sebagai Pelan Tindakan Utama inisiatif MBMMBI. Berikut ialah rumusan ringkas lapan strategi berkenaan:



PENUTUP

PPPM 2013-2025 menterjemahkan hasrat Kementerian Pendidikan untuk menyediakan sistem pendidikan yang mampu membentuk individu yang dapat meningkatkan taraf hidup, menjadi ahli masyarakat yang berjaya dan menyumbang secara aktif kepada pembangunan negara. Di samping itu, Kementerian Pendidikan juga menetapkan bahawa setiap murid yang melalui sistem pendidikan di Malaysia perlu mempunyai kecekapan berbahasa dalam BM dan BI.

Penguasaan BM dan BI sebagai bahasa ilmu akan membangunkan murid yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Murid akan dilengkapi dengan pelbagai kemahiran, komunikasi berkesan, kebolehan menggunakan TMK dengan baik, mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat, mempunyai nilai yang tinggi serta berpotensi menjadi pemimpin berkesan dalam keluarga dan masyarakat. Justeru, pelbagai program dan aktiviti memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkukuh bahasa Inggeris dapat membantu mewujudkan 1Malaysia yang mempunyai jati diri yang kuat, progresif, dinamik, mampu bersaing di peringkat antarabangsa ke arah merealisasikan hasrat menjadi negara maju.

Dalam memastikan kejayaan Dasar MBMMBI, penggemblengan idea dan tenaga semua pihak amat diperlukan bagi membantu KPM memartabatkan BM dan memperkukuh BI. Sebarang cabaran yang dilalui hendaklah dijadikan sebagai ikhtibar dan batu loncatan bagi menambah baik pelaksanaan Dasar MBMMBI. Harapan KPM adalah untuk ibu bapa, guru-guru, pemimpin tempatan, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak swasta berganding bahu dan berusaha gigih bersama-sama menjayakan pelaksanaan Dasar MBMMBI.










No comments:

Post a Comment